Pearly-Thinaah hadiahkan emas ketujuh dan terakhir negara di Birmingham

EMAS KETUJUH... Pemain beregu wanita M. Thinaah dan Pearly Tan berjaya meraih pingat emas ketujuh negara setelah mengalahkan pasangan beregu England pada aksi akhir dalam temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 di National Exhibition Center pada Isnin.
09/08/2022 08:27 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BIRMINGHAM, Aug 8 (Bernama) -- Malaysia mengakhiri cabaran temasya Sukan Komanwel 2022 Birmingham dengan sungguh sempurna.

Beregu badminton wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah mencuri tumpuan apabila menghadiahkan pingat emas ketujuh dan terakhir untuk kontinjen negara di Pusat Pameran Nasional (NEC) di sini hari ini.

Sorakan gempita penonton tuan rumah di Dewan 5, NEC, tidak langsung menggugat semangat Pearly-Thinaah pada penampilan sulung pada temasya itu ketika berada dalam kelas tersendiri untuk mengatasi beregu England, tuan rumah, Chloe Birch-Lauren Smith 21-5 pada set pembukaan.

Pearly-Thinaah meneruskan persembahan cemerlang dengan menambah kutipan mata demi mata untuk kemenangan muktamad 21-8 untuk pingat emas dalam saingan hanya 33 minit.

Sebaik sahaja selesai perlawanan, beregu nombor 11 dunia itu kemudian meluru ke arah Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky untuk meraikan pingat emas sulung mereka pada temasya itu.

M. Thinaah (kiri) dan Pearly Tan

Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia telah melepasi sasaran enam emas di edisi 2022 Birmingham.

Terdahulu, pemain perseorangan lelaki utama negara, Ng Tze Yong, terlepas emas selepas tumpas 21-19, 9-21, 16-21 kepada pemain India, Lakshya Sen, pada final.

Selain emas oleh Pearly-Thinaah dan perak oleh Tze Yong, skuad badminton negara meraih emas pertama apabila mengalahkan India 3-1 dalam acara berpasukan campuran, minggu lepas.

Pemain badminton juga menyumbang dua gangsa semalam menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Malaysia melengkapkan kempen temasya Komanwel Birmingham dengan mengumpul tujuh emas, lapan perak dan lapan gangsa.

Upacara penutup temasya edisi ke-22 itu akan berlangsung di Stadium Alexander, Perry Barr, di sini pada jam 8 malam waktu tempatan (3 pagi, waktu Malaysia, 9 Ogos).

-- BERNAMA