Kontinjen Wipers terima insentif lebih RM1 juta

Seramai 358 atlet dan jurulatih Wilayah Persekutuan (WP) menerima insentif kecemerlangan keseluruhan berjumlah RM1,095,700 susulan pencapaian cemerlang pada temasya dan kejohanan yang dijalankan sepanjang tahun ini di Dewan Sri Siantan, Putrajaya di sini hari ini.
03/11/2022 08:36 PM

PUTRAJAYA, 3 Nov (Bernama) -- Sebanyak 358 atlet dan jurulatih Wilayah Persekutuan (WP) hari ini menerima insentif kecemerlangan keseluruhan berjumlah RM1,095,700 susulan pencapaian cemerlang pada temasya dan kejohanan berlangsung sepanjang tahun ini.

Insentif yang disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian WP Datuk Seri Rosida Jaafar itu, memperuntukkan pemberian sebanyak RM115,000 bagi kontinjen WP yang menyertai Sukan Komanwel Birmingham, Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 (RM905,600), Sukan SEA Hanoi (RM52,600) serta RM22,500 bagi kejohanan dalam dan luar negara.

Rosida berkata insentif itu adalah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas pengorbanan yang dilakukan kontinjen WiPers tanpa mengira sama ada mereka masih berada di bawah Program Podium Majlis Sukan Negara (MSN) mahupun tidak. 

“Mengimbau kembali pencapaian atlet WP sepanjang tahun ini, saya gembira apabila ramai daripada atlet WiPers berjaya mengharumkan nama WP dan nama Malaysia di pelbagai kejohanan serta temasya tempatan dan antarabangsa,” katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Atlet dan Jurulatih WP 2022 di Dewan Sri Siantan di sini hari ini. 

Sementara itu, jaguh beregu lelaki negara Soh Wooi Yik berkata insentif tersebut memberi motivasi untuknya mempersiapkan mental dan fizikal bagi memenangi lebih banyak gelaran di peringkat dunia. 

“Saya bersyukur kerana WP sentiasa memberi penghargaan untuk atlet yang dapat meraih pingat di kejohanan dan semestinya perkara ini memberi motivasi kepada kami (atlet) terus berjuang di masa hadapan,” katanya. 

Atlet angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat bersyukur segala pengorbanan dihargai dan akan terus mempamerkan semangat juang dalam industri sukan untuk mencapai prestasi lebih baik.

Pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada Ogos lepas, beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Wooi Yik merangkul pingat gangsa selepas menewaskan satu lagi beregu negara Chan Peng Soon-Tan Kian Meng. 

Sementara, Muhammad Erry meraih pingat perak dalam acara 73 kilogram (kg), seterusnya pingat gangsa pada Sukan SEA ke-31 dan pingat emas di Sukma dalam acara 81kg. 

-- BERNAMA