Tze Yong masih kurang sengat - Ewe Hock

Ong Ewe Hock
02/03/2023 01:39 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Masih kurang menyengat dan tiada kekuatan. Itu antara masalah utama yang membelenggu pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong ketika ini.

Bekas pemain perseorangan lelaki kebangsaan, Ong Ewe Hock berpendapat Tze Yong perlu mencari sisi menyerang yang lebih berbisa atau mendapatkan ‘senjata pemusnah’ bagi mencapai status elit pada masa depan.

Beliau berkata pemain di ranking ke-28 dunia itu tidak boleh bergantung kepada corak permainan ‘rally’ semata-mata seperti yang diterapkannya ketika ini kerana ia belum cukup untuk menandingi kehebatan bintang ternama lain.

“Tze Yong punya penyudah masih kurang. Boleh dilihat jika kita bandingkan dengan pemain terbaik seperti Viktor Axelsen dari Denmark, bila dia ada peluang dia akan matikan lawan.

“Tze Yong belum lagi walaupun persembahannya agak meningkat sejak dua tahun lepas. Saya harap dia dapat tambah lagi serangan,” katanya selepas majlis pelancaran Piala Ong Ewe Hock 2023 di sini.

Walaupun yakin Tze Yong mampu berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia pada masa akan datang, Ewe Hock sebaliknya berharap agar pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022 itu untuk terus bekerja keras dalam sesi latihan bagi menguatkan mental dan kualiti permainannya.

Tze Yong, yang sudah pulih selepas dilaporkan kurang sihat sebelum ini, dijangka akan turun membuat penampilan pertama pada kejohanan badminton All England 2023 di Birmingham pada 14 hingga 19 Mac ini.

Pemain berusia 22 tahun itu akan membuka tirai kempen All England 2023 menentang lawan dari Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito pada pusingan pembukaan.

Selain All England 2023, Tze Yong dijangka beraksi pada dua lagi kejohanan di Eropah iaitu Terbuka Swiss di Switzerland pada 21-26 Mac diikuti Masters Sepanyol pada 28 Mac-2 April ini.

Kali terakhir pemain dari Johor itu beraksi adalah di Masters Thailand 2023 di Bangkok, Thailand pada 31 Jan hingga 5 Feb lepas yang menyaksikannya tersingkir di peringkat suku akhir di tangan Angus Ng Ka Long dari Hong Kong, 14-21, 20-22.

-- BERNAMA